| Kempen Tanam Sendiri Jimat Belanja |
|
|
|
| Wednesday, 19 November 2008 14:01 |
|
Sempena Kempen Konsumer Kebangsaan 2008 – 2012 Pada bulan Mei 2008, empat organisasi kebangsaan – Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita (NCWO), Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) dan Majlis Belia Malaysia (MBM) telah menandatangani perjanjian untuk mengadakan kerjasama mengadakan kempen kebangsaan – Kempen Konsumer Kebangsaan. Kempen ini bertujuan untuk mendidik ahli setiap organisasi secara khusus dan masyarakat pengguna keseluruhannya, bagi menghadapi senario sejagat tentang kenaikan harga bahan makanan dan bahan api. Keadaan menjadi semakin gawat dengan berlakunya krisis kewangan di Amerika Syarikat, yang menyebabkan ekonomi dunia menjadi tidak menentu. Keadaan yang berlaku di peringkat dunia ini turut memberikan tempias kepada para pengguna di Malaysia, yang menyebabkan:
Bagaimanakah rakyat Malaysia menghadapi krisis ini? Terdapat sebahagian yang menyatakan keresahan mereka terhadap krisis ini dengan mengadakan demontrasi di jalanan. Ada pula yang saling menyalahkan pihak-pihak lain – kerajaan, pengeluar minyak, petani yang tamak atau kerajaan Amerika Syarikat. Terdapat juga segelintir yang mengambil sikap berputus asa. ![]() Namun hakikatnya, krisis ini bukan hanya melanda Malaysia, tetapi seluruh dunia. Semua negara berhadapan dengan isu kenaikan harga barang dan bahan api, serta keadaan ekonomi yang tidak stabil. Malahan ada negara membangun yang turut merasa khuatir dengan kualiti hidup rakyatnya akibat daripada krisis ekonomi yang sedang berlaku. Dalam hal ini, Malaysia tidak ketinggalan. Kerajaan sendiri telah mengambil beberapa usaha untuk mengatasi masalah ini. Bagi keempat-empat organisasi – FOMCA, NCWO, CUEPACS dan MBM – bersefahaman bahawa masa untuk menyalahi pihak lain telah berlalu. Kini tiba masanya bagi semua pihak, termasuk pengguna, wanita, pekerja dan belia – memainkan peranan yang besar dalam kehidupan mereka bagi menghadapi cabaran senario semasa. Lantaran itu, keempat-empat organisasi ini bersama-sama menganjurkan Kempen Konsumer Kebangsaan.
Kempen ini juga bermaksud agar para pengguna perlu sedar bahawa mereka tidak boleh menyalahkan orang lain akibat daripada keadaan yang sedang berlaku, sebaliknya mengubah sikap dan tabiat ”selesa”, mempelajari ilmu dan kemahiran baru, serta menggunakan ilmu dan kemahiran ini untuk menguruskan kehidupan dengan lebih baik. Satu cara yang dapat membantu rakyat Malaysia membantu meringankan beban kewangan ialah melalui tanam sayur-sayuran sendiri. Malaysia kaya dengan keluasan tanah. Namun menjadi suatu kebiasaan, sama ada di kawasan bandar mahupun luar bandar yang ditumbuhi lalang atau tanaman yang tidak memberikan faedah. Sebagai perbandingan, di Vietnam, hampir setiap inci tanah di negara tersebut telah digunakan untuk menanam sayur-sayuran. Rakyat di negara tersebut tahu untuk menggunakan tanah mereka dengan sebaik mungkin. Untuk menanam sayur-sayuran sendiri, sebenarnya tidak memerlukan tanah. Bagi mereka yang tinggal di pangsapuri atau rumah teres, mereka boleh menanam sayur-sayuran di dalam pasu atau beg poly. Dengan usaha yang sedikit, beban perbelanjaan dapat dikurangkan, malah mendapat sayur-sayuran yang segar. Banyak sebab bagi seseorang menanam buah-buahan dan sayur-sayuran di rumah mereka. Sebahagiannya disebabkan oleh hobi, manakala yang lain pula mendapat manfaat daripada tanam sayur-sayuran dapat:
Selain daripada faedah yang diperolehi daripada tanaman tersebut, ia juga menimbulkan kepuasan diri apabila sayur-sayuran tersebut hidup subur dan dimakan sendiri. Kepuasan diri ini merupakan sesuatu yang tidak boleh digambarkan. Malahan tabiat menanam sayur-sayuran juga boleh mewujudkan jaringan perkongsian maklumat dalam kalangan rakan-rakan dan jiran untuk membincangkan masalah yang dihadapi oleh tanam-tanaman mereka. Dengan ini mereka dapat menghasilkan tanaman yang subur dan segar. Selain daripada kaya dengan tanah,Malaysia juga dikurniakan dengan sinaran matahari dan penurunan hujan yang banyak. Jika kurniaan ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya, ia juga dapat menjimatkan wang. Satu kaedah penjimatan yang boleh dilakukan ialah membuat sistem penuaian air hujan di rumah. Air yang dituai itu digunakan untuk menyiram tanaman tersebut. Walaupun kerajaan negeri Selangor memberikan air percuma bagi 20 meter padu pertama, namun ia tidak boleh dijadikan sebagai alasan untuk membazirkan penggunaan air di rumah. Krisis air yang pernah berlaku di negeri Selangor pada tahun 1998 perlu dijadikan sebagai pengajaran. Semua pengguna di negeri Selangor perlu memainkan peranan bersama bagi mengelakkan krisis ini berulang dengan mengambil langkah pencegahan awal. Jika pada masa ini wujud krisis bekalan bahan api, sekiranya krisis bekalan air berlaku, keadaan menjadi lebih buruk lagi. Menanam sayur-sayuran sendiri merupakan satu tindakan yang dilakukan yang dilakukan oleh pengguna untuk bersedia mengambil tanggungjawab bagi kesejahteraan hidup mereka. Marilah semua rakyat Malaysia melakukan perubahan. Sahutlah seruan ini – ”Perubahan bermula dengan saya”. 26 Oktober 2008
|
| Last Updated on Thursday, 09 April 2009 18:06 |






