Home Tips Kesihatan Kesihatan Peribadi Pemakanan & Kesihatan: Elak kematian mengejut

3K in Facebook

 

3K kini dalam FACEBOOK - Sertailah 'HOT CONSUMERS" sekarang
Klik di sini untuk menyertai facebook kami 

 
Pemakanan & Kesihatan: Elak kematian mengejut PDF Print E-mail
Thursday, 07 May 2009 10:17
Cegah meningitis menerusi suntikan vaksin

SUKAR membayangkan jika anak yang dilahirkan sihat dan kemudian membesar dengan penuh ceria, akhirnya meninggal dunia secara tiba-tiba hanya disebabkan demam biasa yang pada asasnya boleh dikategorikan sebagai tidak berbahaya.

Mungkin ianya kelihatan agak pelik tetapi penyakit yang dianggap tidak berbahaya itu, sebenarnya mampu membunuh hanya dalam tempoh beberapa jam jika rawatan bersesuaian tidak diberikan dengan pantas.

Mengimbau detik paling tragis dalam hidupnya, Low Kah Soon,30, tidak menyangka anaknya, Chai Chai, yang ketika itu berusia 18 bulan, akhirnya disahkan meninggal dunia akibat serangan penyakit meningitis selepas tiga jam dimasukkan ke hospital .

“Isteri membawa dua anak termasuk Chi Chi bercuti ke rumah saudara kami di London, November tahun lalu dan ketika itu, anak saya sihat dan ceria.

“Malah sepanjang di London juga, keadaannya sama, sehinggalah Chi Chi mengalami demam dan selesema sehari sebelum pulang ke Malaysia tetapi dia kelihatan pulih dan bermain seperti biasa selepas diberikan ubat.

“Bagaimanapun, pada malamnya, wajahnya kelihatan pucat dan lemah, lalu dibawa ke Hospital Bath tetapi dia akhirnya meninggal dunia selepas tiga jam di hospital dan ujian yang dilakukan mengesahkan kematian anak saya disebabkan penyakit meningitis,” katanya yang sebak menceritakan pengalamannya itu.

Mengulas kes berkenaan, Perunding Pediatrik, Datuk Dr Zulkifli Ismail berkata, tahap kesedaran masyarakat terhadap penyakit meningitis atau radang selaput otak masih rendah, sedangkan serangan penyakit itu bukan saja menyebabkan ibu bapa berisiko tinggi kehilangan anak disayangi, malah bagi kes yang dirawat pula, ada di antaranya mengalami kecacatan mental berkekalan.

Meningitis yang disebabkan bakteria, boleh menyerang sesiapa saja dengan kanak-kanak bawah dua tahun paling terdedah dengan risiko ini terutama jika mereka berada di kawasan sesak seperti di tempat awam atau pusat jagaan kanak-kanak.

Bakteria meningitis yang sering ditemui ialah haemophilus influenza jenis b (Hib), neisseria meningitidis atau dikenali sebagai meningokokus dan streptococcus pnuemoniae atau pneumokokus, selain virus dan kuman. Ianya boleh berjangkit melalui sebaran titisan menerusi mulut, hidung dan tekak seperti bersin, air liur atau batuk.

Dr Zulkiflii berkata, simptom meningitis seperti demam panas, sakit kepala dan ketegangan leher yang boleh berlarutan selama beberapa jam atau mengambil masa hingga dua hari, mungkin sukar dikesan di kalangan kanak-kanak berusia kurang dua tahun, melainkan jika mereka menunjukkan perubahan tingkah laku menjadi tidak aktif, muntah atau kurang selera makan.

Katanya, penyakit itu hanya boleh dirawat menerusi ujian klinikal yang terperinci termasuk ujian darah selain mengambil sampel air tulang belakang kerana ujian sinar-x (x-ray) hanya akan menunjukkan tanda penyakit pneumonia (radang paru-paru) saja.

“Masih ramai ibu bapa di Malaysia yang kurang sedar berhubung bahaya penyakit meningitis, malah gagal mengesan simptom yang ditunjukkan anak mereka.

“Satu-satunya kaedah mengesan penyakit ini menerusi pengambilan sampel air tulang belakang kanak-kanak terbabit tetapi malangnya, ibu bapa menentang prosedur ini kerana bimbang anak akan lumpuh, sedangkan proses itu selamat dan berisiko rendah,” katanya dalam sidang media bagi meningkatkan kesedaran orang ramai berhubung bahaya penyakit meningitis sempena Hari Meningitis Dunia yang disambut pada 25 April lalu, di Petaling Jaya, baru-baru ini.

Program berkenaan anjuran Tabung Amal WyethAID dengan kerjasama Kesatuan Pertubuhan Meningitis (CoMO) dan Asian Strategic Alliance for Pneumococcal Disease (ASAP).

Pada masa ini, suntikan vaksin Hib sudah dimasukkan dalam Program Imuninasi Kebangsaan (NIP) kepada kanak-kanak bermula 2002 tetapi masih ada beberapa suntikan vaksin yang penting termasuk bagi mencegah meningitis masih dijadikan pilihan.

Keadaan itu menyebabkan ramai kanak-kanak tidak mempunyai perlindungan terhadap serangan bakteria berkenaan, sedangkan wabak itu boleh berkembang dengan cepat, mudah berjangkit dan membunuh seorang daripada 10 yang dijangkiti.

Kira-kira lima hingga 10 peratus daripada mereka yang dijangkiti menemui ajal dalam tempoh antara 24 hingga 48 jam selepas simptom pertama dikesan walaupun sudah diberi rawatan, manakala sebahagian daripada mereka yang terselamat pula mengalami kecacatan kekal termasuk hilang pendengaran, terencat akal atau epilepsi.

Dr Zulkifli berkata, suntikan vaksin konjugat pneumokokal adalah langkah pencegahan yang perlu diambil oleh setiap ibu bapa kerana kosnya lebih murah berbanding rawatan berpanjangan terhadap pesakit yang diserang meningitis.

Katanya, jika dulu kes jangkitan Hib penyebab utama penyebaran pneumokokus dan kematian yang membabitkan

kanak-kanak berusia bawah lima tahun, tetapi sejak 2005, kajian mendapati pneumokokal yang boleh menyebabkan meningitis adalah punca utamanya.

Penyakit itu bukan saja menjangkiti kanak-kanak, malah warga emas berusia melebihi 55 tahun berikutan sistem pertahanan badan yang agak lemah.

Sementara itu, Pengerusi ASAP, Prof Dr Lulu C Bravo dalam sesi sidang video yang diadakan dengannya di Filipina berkata, tahap kesedaran yang masih rendah di kalangan masyarakat menyebabkan penularan penyakit berbahaya ini sukar dibendung.

Katanya, di Filipina saja, kira-kira 9,000 kematian dicatatkan setiap tahun akibat wabak pneumokokal ini.

“Sebab itu, kita perlu tahu bagaimana penyebaran penyakit ini berlaku hingga membunuh mangsanya dan apakah langkah pencegahan yang perlu dilakukan.

“Ini kerana, penyakit ini boleh dicegah menerusi suntikan vaksin, malah data ditunjukkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) membuktikan kadar kematian di kalangan kanak-kanak semakin menurun selepas pengambilan vaksin.

“Selain kehilangan nyawa, mereka yang terselamat daripada penyakit ini selepas menerima rawatan biasanya mengalami kecacatan kekal dan kita tidak mahu mereka menderita hanya disebabkan kecuaian akibat tiada kesedaran ke arah mencegahnya lebih awal,” katanya.

Presiden CoMO, Bruce Langoulant yang dihubungi di Perth, Australia, pula berkata antara usaha dilakukan pihaknya untuk menimbulkan kesedaran orang ramai berhubung bahaya wabak pneumokokal yang boleh menyebabkan meningitis termasuk menganjurkan siri iklan dan menyiarkan laporan berita berhubung penyakit itu menerusi media sempena Hari Meningitis Dunia.

“Kita perlu bekerjasama di seluruh dunia untuk memberi kesedaran kepada manusia sejagat bahawa wabak pnemukokal ini sangat bahaya kerana boleh menyebabkan kematian dalam tempoh yang cepat,” katanya.

INFO: Pneumokokal


    * Pneumokokal menggambarkan sekumpulan penyakit yang disebabkan oleh bakteria Streptococcus (S.) pneumoniae, yang juga dikenali sebagai pneumokokus.

    * Simptom penyakit berbeza-beza mengikut usia kanak-kanak dan bergantung kepada masalah yang dihadapinya sama ada: - meningitis - demam, meragam, sakit kepala, muntah dan pengsan - radang paru-paru - boleh menyebabkan demam, susah bernafas, batuk, sakit dada dan hilang selera makan - jangkitan telinga tengah - sakit telinga, susah mendengar dan kadangkala demam

    * Membimbangkan pakar perubatan kerana pneumokokal dikelaskan sebagai pembunuh nombor satu kanak-kanak, terutama pesakit kecil di bawah umur lima tahun.

ASAP menganggarkan dua juta kanak-kanak bawah usia lima tahun, maut setiap tahun akibat wabak pneumokokal