Home Tips Kesihatan Kesihatan Peribadi Menjaga kesihatan sistem penghadaman

3K in Facebook

 

3K kini dalam FACEBOOK - Sertailah 'HOT CONSUMERS" sekarang
Klik di sini untuk menyertai facebook kami 

 
Menjaga kesihatan sistem penghadaman PDF Print E-mail
Tuesday, 16 June 2009 08:32

MASALAH penghadaman seperti sembelit, cirit-birit, pedih hulu hati dan senak perut boleh dianggap gejala biasa yang lazimnya tidak serius.

Bagaimanapun, kita semua ingin mengawal atau mencegah gejala ini daripada kerap berlaku dan berlarutan sehingga menjadi penyakit yang boleh mengancam nyawa.

Hakikatnya, bukan susah untuk menjaga kesihatan sistem penghadaman. Anda hanya perlu menjaga gaya hidup dan diet pemakanan, kerana kesihatan sistem penghadaman bergantung kepada makanan yang anda makan (atau tidak makan!), gaya hidup yang diamalkan dan kegiatan fizikal yang anda lakukan.

*Awasi apa yang dimakan

Untuk membolehkan badan anda menghadamkan makanan dengan cekap dan menyerap nutrien, anda memerlukan sistem penghadaman yang sihat.

Diet tidak sihat dan tabiat makan yang tidak sihat seperti makan dengan gelojoh dan juga tidak makan pada waktu makan boleh mengganggu sistem penghadaman.

Sebagai contoh, pengambilan makanan yang sudah diproses dan makanan berlemak setiap hari akan memberi tekanan kepada sistem penghadaman anda kerana ia perlu bekerja lebih masa untuk memecahkan atau mengurai makanan tersebut.

Pemakanan yang tidak sihat menjejaskan kesihatan sistem penghadaman, hingga boleh menyebabkan usus kecil kehilangan keupayaan untuk menyerap nutrien daripada makanan.

Sistem yang tidak sihat juga menyebabkan kemerosotan aktiviti rembesan (disebabkan kerosakan kelenjar tambahan dan mukosa usus), mengurangkan toleransi lemak dan mengakibatkan kekurangan zat makanan. Semua ini boleh menjejaskan kesihatan.

*Tabiat sihat untuk usus

Untuk memastikan kesihatan sistem penghadaman anda berada pada tahap optimum, anda boleh mencuba petua yang disyorkan oleh Pertubuhan Gastroenterologi Sedunia:

*Amalkan pengambilan hidangan makanan lebih kecil secara lebih kerap seperti 4-5 sajian lebih kecil dan bukannya 2-3 sajian besar, setiap hari. Bagaimanapun, pastikan sajian lebih kecil ini tidak meningkatkan pengambilan kalori anda secara keseluruhan!

*Makan lebih banyak makanan berserat seperti buah-buahan (pear, epal, betik), sayuran (brokoli, sayuran berdaun hijau, cendawan), kekacang (pea, lentil) dan bijian penuh (roti, bijirin, beras perang).

*Makan lebih banyak ikan, sekurang-kurangnya 3-5 kali seminggu.

*Pilih daging kurang berlemak seperti ayam, ayam belanda atau daging lembu tanpa lemak.

*Kurangkan pengambilan makanan berlemak, berminyak atau makanan goreng.

*Ambil probiotik seperti susu kultur dengan lebih kerap.

*Minum sekurang-kurangnya dua liter air setiap hari dan kurangkan minuman yang mengandungi kafein, alkohol dan gula.

*Aktiviti dan gaya hidup sihat

Mengamalkan gaya hidup sihat dan senaman fizikal secukupnya sangat penting kepada kesihatan sistem penghadaman, dan juga kesihatan badan secara keseluruhan.

Cara berikut dapat membantu anda memastikan sistem penghadaman anda bekerja secara optimum:

*Kurangkan tekanan – tekanan atau stres berlebihan boleh melencongkan pengaliran darah daripada sistem penghadaman anda. Sistem penghadaman mudah disesuaikan dengan rutin harian. Justeru, dengan menetapkan masa tertentu untuk tugas tertentu, anda dapat membantu sistem penghadaman anda dan seterusnya membuat diri berasa lebih berupaya mengawal keadaan. Jika anda mengalami Sindrom Gangguan Usus (SUT), tekanan boleh mencetuskan kekejangan dalam kolon anda.

*Kekalkan Indeks Jisim Badan (BMI) yang sihat – risiko Penyakit Refluks Gastroesopfagus (GERD) dan kanser adalah lebih tinggi di kalangan individu yang gemuk atau mengalami berat badan berlebihan. Senaman jenis kardiovaskular membantu menguatkan otot abdomen dan mengurangkan rasa malas badan dengan merangsang otot usus untuk menolak kandungan dalam usus untuk melalui sistem anda.

*Berhenti merokok – merokok menjejaskan seluruh badan, termasuk sistem penghadaman. Ia mengurangkan tekanan di persimpangan antara perut dan esofagus, menyebabkan asid perut mengalir balik ke dalam esofagus dan boleh menyebabkan pedih hulu hati dan pelbagai komplikasi lain. Merokok juga boleh memburukkan lagi ulser peptik dan keradangan usus, dan turut dikaitkan dengan peningkatan risiko pelbagai penyakit kanser.

*Hadkan minuman yang mengandungi alkohol, kafein atau gula – semua ini boleh menjejaskan kesihatan sistem penghadaman anda dan menyebabkan masalah seperti pedih hulu hati, sembelit dan memburukkan lagi gangguan seperti SUT. Alkohol boleh menyebabkan keradangan perut atau dinding esofagus dan mencetuskan gejala pedih hulu hati. Kafein pula boleh menyebabkan asid perut mengalir masuk balik ke dalam esofagus (refluks) dan mengakibatkan pedih hulu hati.

Sumber : Utusan